Jika anda tahu cara menanam kunyit dengan betul sama ada di dalam pasu, polibeg atau di atas tanah, tanaman ini akan tumbuh subur walaupun di halaman rumah jika cukup air, jagalah dengan baja yang sesuai yang menjadi makanan pokok ini.
Kunyit hidup atau serbuk sentiasa menjadi pilihan popular yang sering digunakan sebagai rempah ratus dalam masakan serta digunakan sebagai agen pewarna semula jadi dan tanah yang sesuai untuknya adalah di kawasan tropika.
Kandungan yang terdapat dalam kunyit adalah seperti resin, oleoresin, curcumin, minyak pati, lemak, protein, kalsium, zat besi, fosforus, desmetoxicurcumin dan bidesmetoxicurcumin yang mempunyai banyak kelebihan dan khasiat.
Malah, melalui beberapa kajian yang telah dilakukan oleh saintis menyatakan bahawa curcumin yang terdapat dalam kunyit mempunyai manfaat untuk kesihatan tubuh badan dan juga bertindak sebagai anti-bakteria, anti-malaria dan anti-radang.
Disebabkan itu, sejak zaman dahulu lagi zaman nenek moyang kita, kunyit menjadi pilihan mereka sebagai ubat dalam perubatan tradisional yang ternyata sangat berkesan untuk penyakit tertentu.
Bukan itu sahaja, ia juga digunakan untuk merangsang badan, mencegah kulat, merawat terseliuh, cacing pita, kudis, sakit saraf di kepala dan muka dan banyak lagi kalau nak dihuraikan satu persatu.
Cara Menanam Pokok Kunyit Dengan Betul
Nama Saintifik : Curcuma Domestica Loir
Nama Biasa in English : Turmeric
Nama Tempatan : Kunyit
Family : Zingiberaceae
Kunyit boleh tumbuh subur dengan hanya menggunakan rizom atau daripada anak pokok sama ada yang dibeli dari kedai atau anak pokok induk. Ia akan mudah hidup dalam media tumbuhan seperti tanah gembur dengan air yang mencukupi.
Berikut adalah cara mudah tanam kunyit di rumah dalam pasu atau bekas pilihan anda dan jangan risau ia sangat mudah dijaga malah tidak cerewet untuk disimpan asalkan rendang.
Penyemaian Anak Benih
Umur kunyit yang sesuai untuk dijadikan benih adalah sekitar 8 bulan dan sebaiknya ambil kunyit tua supaya cepat membesar selepas ditanam dan cara menyemai pelbagai kaedah yang boleh anda lakukan.
Bagaimanapun, kaedah meletakkan benih kunyit dalam bekas tertutup bersama tisu basah adalah yang paling mudah dan cepat untuk menghasilkan anak pokok kunyit sebelum dipindahkan ke dalam pasu atau tanah.
- Letakkan benih kunyit di atas tanah yang lembab
- Pastikan benih langsung tidak terkena cahaya matahari
- Apabila benih telah mempunyai anak tunas, ia siap dipindahkan
Penyediaan Tanah
Jika pilihan anda adalah polibeg, jangan risau ia kekal hidup jika tanah yang sesuai ada bersama dan yang paling penting adalah medium tanaman tanah gembur atau campuran kompos atau baja organik.
Campurkan tanah gembur dengan tahi kambing atau tahi ayam dengan nisbah 2:1:1 kemudian kacau rata. Selepas itu, bolehlah diisi dalam pasu atau mana-mana bekas pilihan anda.
Saiz pasu yang sesuai adalah antara 20 CM diameter dan 40 CM tinggi, bagaimanapun, anda boleh menggunakan mana-mana bekas yang sesuai untuk menanam.
Sebelum memasukkan tanah, seelok-eloknya letakkan batu bata di bahagian bawah pasu untuk memudahkan penyerapan air, kemudian masukkan tanah yang telah dicampur dengan baja.
Jaram Tanaman Kunyit
Jarak yang sesuai untuk menanam kunyit ialah saiz berukuran 50 CM x 40 CM dalam penggunaan sistem monokultur. Namun sekiranya tanaman ini hendak ditanam dengan cara penanaman campuran, perlu dengan jarak yang lebar iaitu 75 CM x 50 CM.
Penanaman Benih
Benih kunyit yang sesuai untuk ditanam di dalam pasu adalah benih yang telah bertunas dan berikut adalah beberapa perkara yang perlu diingat sebelum anda mula menanam:
- Buat lubang dengan kedalaman tanah 8 CM
- Masukkan anak benih yang bertunas ke dalam lubang yang telah siap
- Setiap lubang dengan satu tunas sahaja
- Tutupkan semula setiap lubang dengan tanah campuran dan baja
- Jangan lupa untuk siram selepas ditanam
Pembajaan Pokok
Untuk pembajaan pula sebaiknya digalakkan menggunakan baja kompos atau baja organik dan sebolehnya elakkan sebarang baja kimia, tetapi ini semua terpulang kepada penanam itu sendiri.
Pembajaan biasa cukup sebulan sekali sahaja dengan gabungan tanah yang telah dicampur dengan kompos, baja, atau najis ayam dengan nisbah 1: 1: 1.
Penyiraman
Anda perlu menyiram pokok kunyit 2 atau 3 kali sehari berdasarkan kelembapan tanah dan cuaca setiap hari. Penyiraman yang betul bermula pada waktu pagi atau petang.
Pastikan air tidak bertakung dan jangan terlalu siram kerana jika terlalu banyak air akan disumbat atau ubi kunyit akan reput atau berkulat dan tidak sihat yang akan menyebabkan ia mati.
Penuaian Hasil Tanaman
Masa yang sesuai untuk menuai kunyit tua adalah dalam tempoh 8 bulan selepas ia ditanam atau jika daun kunyit hijau telah bertukar keperangan atau kering.
Kunyit yang sihat biasanya akan mempunyai daun yang sangat hijau, besar dan lebar. Itu juga menandakan ubinya agak besar dan sihat. Jadi, anda perlu sentiasa memantau keadaan pokok kunyit agar ia terus subur sehingga ke masa menuai.
Baca : Sotong Goreng Kunyit Tersedap
Rujukan Info & Gambar
Kesimpulan
Sebenarnya nak tanam kunyit ni senang sangat? Rasanya semua orang boleh buat cuma sihat dan subur atau tidak sahaja bezanya jadi wajib bagi anda menyediakan air dan baja yang cukup untuk pokok itu terus hidup.
Semoga perkongsian cara menanam kunyit ini dapat memudahkan kerja anda untuk penjagaan dan pembajaan pokok yang sepatutnya ada di setiap rumah di Malaysia ini.
kredit to: Bukitbesi Blog